Hutan Lipur Teladas

Hutan lipur ini terletak 2km dari Bandar Maran dan 50km dari Temerloh dan telah ditubuhkan pada tahun 1985. Kawasan ini dikunjungi oleh pelawat kerana ia terkenal dengan air terjunnya dan sungainya yang dingin. Ia terletak di dalam hutan yang telah dibalak. Terdapat lebih kurang 1,000 orang pelawat datang berkunjung ke sini di dalam satu bulan terutama di hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kemudahan yang telah disediakan meliputi jalan, pondok, bangku, tandas awan, bilik persalinan, jambatan, ampangan dan tangga konkrit yang memerlukan penyelenggaraan dan pembaikpulih. Disamping itu usaha menanam beberapa jenis pokok sebagai program pengindahan telah dijalankan.


  

Lubuk Ujid /Taman Rekreasi Che Minah Sayang

Lubuk Ujid terletak di Kuala Sentul iaitu kira-kira 10km perjalanan dari Bandar Maran dan 13km dari Felda Jengka 3. Ia merupakan kawasan tumpuan pengunjung sekitar kawasan untuk beriadah terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum. Di sekitar kawasan ini terdapat kemudahan seperti surau, tandas dan tempat meletak kenderaan. Arus sungai yang tidak begitu dalam, bersih, dihiasi dengan batuan sungai yang menarik pandangan sesuai untuk semua pengunjung.

MARAN 29 Mac 2017 Bersamaan 1 Rejab 1438H – Kawasan Rekreasi Lubuk Ujid di Kuala Sentul, dekat sini telah di masyhurkan nama baharu “Taman Rekreasi Che Minah Sayang”. Majlis Pemasyhuran tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, di sini pagi tadi, sempena majlis perasmian penutup Kem Tahunan Pandu Puteri Renjer dan Remaja Peringkat Negeri Pahang 2017 yang berlangsung di Tapak Perkhemahan Lubuk Ujid.

 

 (sumber ;http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?p=9110 )


  

Lubuk Yu

Lubuk Yu merupakan kawasan sungai yang berdekatan dengan Felda Ulu Jempol, dan kira-kira10km dari Felda Jengka 3. Ia juga kawasan perkelahan yang paling ideal untuk seisi keluarga. Arusnya yang tidak begitu deras menjadikan ia air terjun yang paling digemari penduduk Maran. Kawasan yang tenang dan dipenuhi flora yang sangat menyegarkan.


  

Tapak Keramaian Hindu

  

Upacara keramaian agama Hindu. Penghuni Uthram Festival di Marathandavar Temple menjadi kunjungan ribuan penganut-penganut agama Hindu pada bulan Mac/April setiap tahun untuk tempoh beberapa hari. Kawasan ini terletak di tepi jalan Persekutuan 64. Kawasan ini juga dilengkapi dengan tempat meletak kenderaan yang sesuai.


  

Padang Golf (Maran Hill Golf Resort)

Majlis Daerah Maran telah meyediakan Padang Golf (Maran Hill Golf Resort) yang terletak kira–kira 3km dari Bandar Maran dan 27.4km dari Pusat Internet Felda Jengka 3. Padang golf ini menyediakan 18 lubang dan mempunyai pemandangan yang indah. Terdapat cafe di puncak bukit di padang golf tersebut yang menyediakan makanan dan minuman untuk pengunjung.

 

Jengka Wonderland

Jengka Wonderland telah dibuka pada Disember 2018 yang terletak di Bandar Jengka. Dibuka setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi hingga 7.30 petang. Harga tiket pula adalah sangat berpatutan iaitu bermula RM10.00 hingga RM18.00 sahaja.  Pelbagai permainan disediakan seperti gelongsor air tinggi, gelong air pusing, terowong air, sungai, kolam berpantai, ‘padle’ bot, air curah, gua dan sebagainya. Selain itu, terdapat kemudahan untuk pengunjung disediakan seperti pondok wakaf, bilik persalinan, tandas, surau, gerai makanan dan lain-lain lagi. 

 

Rabbitland Jengka

Rabbitland Jengka telah dibuka pada April 2019 yang terletak di Mercu View The Chalet Bandar Jengka. Kini Rabbitland telah berpindah di Jengka 14 iaitu berhadapan Hotel D'kolam. Dibuka setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam. Harga tiket pula adalah sangat berpatutan iaitu RM8.00 untuk dewasa manakala bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU pula berharga RM5.00. Terdapat pelbagai haiwan ditempatkan selain arnab seperti kambing, kuda, unta, kerbau, burung, landak, burung unta, rusa, burung merak dan banyak lagi. Tempat riadah ini sangat sesuai untuk kanak-kanak dan seisi keluarga dimana kanak-kanak dapat memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut disamping dapat mengambil gambar sebagai kenangan.

 

Galeri Tokoh & 3D Maran

 

Orang ramai terutamanya penduduk sekitar Maran, Sri Jaya dan Jengka kini mempunyai satu tempat menarik untuk dikunjungi iaitu Galeri Tokoh dan Galeri 3D yang dibuka di bandar Maran. Perasmian galeri ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang juga ADUN Kuala Sentul dan Ketua UMNO Maran pada 2 Febuari 2020. Harga tiket bagi pengunjung mengikut kategori adalah dari RM5.00 ke RM10.00 sahaja. Waktu operasi adalah setiap hari termasuk Hari Kelepasan Am dan dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang. Di galeri ini terdapat informasi berkaitan biodata tokoh-tokoh, asal usul nama Maran dan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di sekitar Daerah Maran. Selain itu, di sini terdapat juga galeri 3D di mana pengunjung dapat bergambar dengan hasil lukisan di dinding yang dihasilkan dalam bentuk 3D. 

 

Bentara Campsite

Bentara Campsite merupakan tarikan terbaru yang terdapat di Daerah Maran dimana lokasinya terletak di Kampung Kuala Sentul dan berhampiran dengan sungai. Persekitaran dan pemandangan yang menghijau sangat menenangkan pengunjung yang menginap disini. Selain campsite, terdapat juga beberapa buah chalet untuk mereka yang ingin bermalam disini. Selain bermandi manda di sungai, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti ATV yang disediakan. Sebarang pertanyaan boleh hubungi nombor berikut 012-3409672 (Rashidah) atau 019-9191432 (Supian)