PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang berakhir Isnin ini, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Perdana Menteri berkata, pelanjutan tempoh PKPP itu bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan. "Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan," katanya dalam perutusan khas disiarkan secara langsung di sini, hari ini. Muhyiddin juga menggesa rakyat supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab membendung penularan wabak COVID-19.Beliau berkata ini selaras dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 yang bertemakan Malaysia Prihatin. "Kita semua adalah barisan hadapan (frontliner) yang berada di barisan paling hadapan untuk memerangi dan mencegah wabak ini. "Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak COVID-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat,."Saya mendoakan semoga saudara dan saudari terus diberikan perlindungan daripada wabak ini dan sentiasa sihat sejahtera," katanya.